IPOH, 18 Dis (Bernama) -- Masjid perlu keluar daripada peranan lapuk dan mengambil tanggungjawab membantu menangani cabaran serta masalah yang dihadapi oleh ummah semasa, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Baginda bertitah ahli jawatankuasa dan kariah masjid tidak boleh "memekakkan telinga" dan "memejamkan mata" terhadap isu yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan ummah.
Sebaliknya, baginda bertitah mereka perlu menjadikan masjid berperanan aktif dalam membantu menangani isu termasuk keterjaminan makanan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta isu kesihatan rakyat.
“Atas fahaman bahawa banyak masjid memiliki kawasan tanah yang boleh dioptimumkan penggunaannya, masjid hendaklah bergerak aktif dalam program keterjaminan makanan, menyuburkan kawasan masjid dengan tanaman sayur dan pohon buah-buahan.
“Beta hargai usaha dan bantuan yang telah dihulurkan oleh Jabatan Pertanian menjayakan program keterjaminan makanan di 118 masjid di Perak, kejayaan awal ini hendaklah menjadi pendorong untuk lebih banyak jawatankuasa masjid menggiatkan ahli-ahli kariah menghasilkan bahan makanan di tanah-tanah milik masjid,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di sini hari ini.
Baginda bertitah masjid juga boleh berperanan dalam memberikan kesedaran tentang kelestarian bumi melalui program masjid lestari yang menumpukan pengurusan bahan buangan, pengurangan penggunaan bahan plastik dan memperkenalkan program kitar semula.
“Jawatankuasa dan pegawai masjid secara aktif hendaklah melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar melalui program kitar semula, antaranya menjadikan sisa buangan makanan daripada jamuan yang diadakan untuk dijadikan baja kompos, meminimumkan penggunaan plastik sekali guna dan menyediakan tempat kariah menyerahkan bahan-bahan terpakai yang masih elok dan boleh digunakan untuk manfaat mereka yang memerlukan,” titah baginda.
Sultan Nazirn bertitah program masjid hijau juga boleh dilaksanakan melalui amalan teknologi hijau seperti penggunaan tenaga solar, sistem pengumpulan air hujan dan pengurusan sisa secara efisien serta memberikan pendidikan alam sekitar dan kepentingan biodiversiti melalui siri tazkirah dan ceramah secara berkala.
“Dengan bimbingan Jabatan Alam Sekitar, 20 masjid kini terlibat aktif dalam program kitar semula dan penjagaan alam sekitar serta bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri, tujuh masjid diiktiraf untuk menerima penganugerahan masjid lestari kerana berjaya mengumpulkan sisa plastik dan e-waste terbanyak di Perak,” titah Sultan Nazrin.
Dalam pada itu, baginda bertitah dengan statistik dan data isu kesihatan rakyat Malaysia yang kian membimbangkan, jawatankuasa masjid disaran melaksanakan program mengilmukan kariah dan menjadi pemangkin amalan gaya hidup sihat dengan memperkenalkan pelbagai program berkaitan.
Hal ini termasuk menganjurkan tazkirah dan ceramah siri pendidikan kesihatan dengan kerjasama pegawai kesihatan, perubatan dan pemakanan, menganjurkan program sukan dan riadah seperti senamrobik di pekarangan masjid selepas solat subuh dan asar serta menghentikan penyediaan minuman manis dalam jamuan di masjid dan mengurangkan garam dan lemak dalam hidangan.
“Menggalakkan jemaah berpuasa sunat, serta memperkenalkan budaya waktu makan yang baharu dengan mengubah waktu jamuan di masjid dan surau daripada dihidangkan selepas solat isyak kepada sebelum solat maghrib,” titah baginda.
-- BERNAMA
