ALOR SETAR, 18 Dis (Bernama) -- Infrastruktur limbungan kapal pada peringkat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) ialah projek sosioekonomi penting dalam menjana pendapatan dan pembangunan sosial nelayan setempat, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata walaupun negara ini terkenal dengan limbungan kapal besar, infrastruktur pada peringkat akar umbi ialah inisiatif kerajaan bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat dan memodenkan industri.
"Limbungan ini adalah contoh terbaik bagaimana PNK mengambil peranan aktif dalam rantaian nilai Industri Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR) dengan menyediakan servis up-slip, down-slip, pembaikan dan penyelenggaraan untuk bot nelayan," katanya.
Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Limbungan Kapal PNK Kuala Kedah di sini hari ini, yang dibangunkan dengan kos RM10.7 juta dan disiapkan dalam tempoh empat tahun.
Setiap pembaikan dan penyelenggaraan kapal yang berlaku di limbungan adalah sumbangan langsung kepada agenda keterjaminan makanan negara.
"Kapal yang cepat dibaiki dan selamat digunakan bermaksud nelayan dapat kembali ke laut lebih cepat, sekali gus memastikan bekalan makanan laut di pasar dan meja kita tidak terganggu," katanya.
Mohamad berkata hingga Oktober lepas pendaratan ikan yang dicatatkan di negara ini adalah sebanyak 115,000 metrik tan bersamaan dengan RM473 juta.
"Rekod kuantiti pendaratan ikan di Kuala Kedah adalah sebanyak 1,038 metrik tan bersamaan dengan RM6.231 juta. Kementerian yakin PNK di sini dapat meningkatkan sumbangan kepada industri perikanan negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau akan sentiasa menyokong program latihan teknikal dan bekerjasama dengan limbungan PNK serta menggalakkan golongan muda nelayan untuk merebut peluang menyertai kursus-kursus berkaitan.
Sokongan kerajaan itu membuktikan bahawa pekerjaan pembaikan bot adalah kerjaya profesional yang mempunyai masa depan cerah.
-- BERNAMA
