AM

PM ANWAR INGATKAN ANGGOTA KABINET BAHARU TELITI, FAHAMI DASAR SEBELUM BUAT KEPUTUSAN

18/12/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota jemaah menteri yang baharu dilantik supaya meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing, sebelum membuat sebarang keputusan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu disampaikan oleh Anwar, semasa mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

“Perdana Menteri telah mengalu-alukan semua menteri yang baharu dan beliau telah memberi peringatan tegas kepada menteri-menteri untuk teliti beberapa aspek.

“Pertama, untuk luangkan masa menelaah, cuba memahami dengan mendalam segala aspek dalam pengurusan sama ada kementerian ataupun dasar yang sedang dirangka oleh kementerian tersebut, dan untuk tidak membuat apa-apa keputusan dalam tempoh yang terlalu singkat.

“Berikan masa kepada pegawai dan penjawat awam untuk menyampaikan beberapa pandangan dahulu,” katanya pada sidang media mingguan terakhir untuk tahun ini, yang diadakan di Kompleks Angkasapuri hari ini.

Fahmi berkata setakat ini tiada garis masa khusus ditetapkan untuk menteri baharu mencapai hasil yang disasarkan di kementerian masing-masing, bagi memberi sedikit ruang kepada mereka membiasakan diri dengan sistem dan prosedur pentadbiran.

Menyentuh mengenai isu pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), beliau berkata pelantikan itu tidak menimbulkan sebarang isu tadbir urus kerana semua keputusan dan tindakan menteri di jabatan itu akan dipantau dan dirujuk kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata ini kerana Hannah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan portfolio Wilayah Persekutuan dan bukannya mengetuai sebuah kementerian khusus seperti sebelum ini.

“Bagi Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketuanya ialah Perdana Menteri. Jadi, sebarang tindakan, keputusan itu akan dirujuk juga dengan Perdana Menteri dan kebiasaannya Mesyuarat pasca-Kabinet itu akan disertai oleh semua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu kelaziman.

“Jadi dari segi pengurusan, Perdana Menteri memantau dan sekiranya perlu mengambil dan menyampaikan apa-apa nasihat ataupun arahan kepada menteri-menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, itu lazimnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan