DUNIA

SUSPEK SERANGAN DI BONDI BEACH DIPINDAHKAN KE PENJARA

22/12/2025 05:08 PM

SYDNEY, 22 Dis (Bernama-dpa) -- Lelaki berusia 24 tahun yang didakwa sebagai seorang daripada dua penyerang dalam insiden keganasan di Bondi Beach, telah dipindahkan dari hospital ke penjara pada Isnin, menurut pihak polis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Polis memaklumkan bahawa lelaki itu dihantar ke kemudahan pemulihan di timur Sydney. Kompleks berkenaan turut menempatkan Hospital Long Bay, sebuah wad kawalan keselamatan tinggi bagi kes perubatan dan psikiatri.

Dalam kejadian pada 14 Disember lepas, dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Bondi Beach, Sydney, yang mengorbankan 15 nyawa manakala puluhan lagi cedera. Majoriti mangsa terdiri daripada masyarakat Yahudi yang sedang menyambut hari pertama perayaan Hanukkah.

Hasil siasatan mengenal pasti penyerang sebagai pasangan bapa dan anak. Bapa yang berusia 50 tahun maut ditembak polis di lokasi kejadian, manakala anak lelakinya yang cedera kini berhadapan 15 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan niat membunuh, dan satu pertuduhan melakukan tindakan pengganas.

--BERNAMA-dpa

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan