DUNIA

AGENSI KEMANUSIAAN PBB DESAK ISRAEL BATALKAN LARANGAN TERHADAP AGENSI BANTUAN KEMANUSIAAN

01/01/2026 11:00 AM

GENEVA, 1 Jan (Bernama-Xinhua) -- Pelbagai agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa secara bersama mengeluarkan kenyataan pada Rabu, menggesa Israel membatalkan larangan operasi terhadap organisasi bantuan antarabangsa di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu organisasi bantuan antarabangsa memainkan peranan penting dalam operasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, dengan menyalurkan bantuan berjumlah hampir US$1 bilion setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, ketika musim sejuk memburukkan lagi penderitaan keluarga di Gaza, tahap ketakjaminan makanan yang meruncing terus berterusan dan keperluan untuk bantuan menyelamat nyawa kekal kritikal.

Tindakan mengharamkan kumpulan bantuan dikhuatiri boleh menjejaskan kemajuan rapuh yang dicapai semasa gencatan senjata dan memberikan kesan buruk kepada kanak-kanak, wanita, serta lelaki yang memerlukan.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa akses kemanusiaan bukanlah sesuatu yang pilihan atau tertakluk kepada syarat mahupun pertimbangan politik. Ia merupakan kewajipan undang-undang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta keperluan asas bagi perlindungan hak asasi manusia.

Antara pemimpin yang menandatangani kenyataan itu termasuk Tom Fletcher, Penyelaras Bantuan Kecemasan dan Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Urusan Kemanusiaan; Qu Dongyu, Ketua Pengarah Organisasi Makanan dan Pertanian PBB; Amy E. Pope, Ketua Pengarah Organisasi Antarabangsa bagi Migrasi; Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia; dan Alexander De Croo, Pentadbir Program Pembangunan PBB.

Turut serta ialah Catherine Russell, Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF); Sima Bahous, Pengarah Eksekutif Wanita PBB dan Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut laporan media, Israel merancang untuk melarang puluhan organisasi bantuan antarabangsa daripada beroperasi di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bermula 1 Jan 2026, atas alasan kegagalan mematuhi syarat pendaftaran Israel.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan