DUNIA

YAMAN HARGAI PENDIRIAN MALAYSIA SOKONG PERPADUAN, KEDAULATANNYA

01/01/2026 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan Yaman menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian berprinsipnya dalam menegaskan sokongan terhadap perpaduan, kedaulatan dan kestabilan Yaman.

Kedutaan Yaman di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pendirian Malaysia itu mencerminkan komitmen berterusannya terhadap keamanan antarabangsa, menghormati kedaulatan sesebuah negara serta perlindungan nyawa orang awam.

“Yaman menghargai pendekatan Malaysia yang seimbang dan berprinsip, serta berharap untuk terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam menyokong keamanan, kestabilan dan prinsip kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan pada 27 Disember lepas menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di Yaman baru-baru ini, terutamanya laporan mengenai pergerakan ketenteraan unilateral dan kemaraan  Majlis Transisi Selatan (STC) di wilayah timur Hadramaut dan Al-Mahra.

Malaysia turut menegaskan semula sokongan penuhnya kepada Majlis Kepimpinan Kepresidenan dan Kerajaan Yaman sebagai pihak berkuasa yang sah dalam menerajui proses peralihan dan pembinaan keamanan di negara itu.

Menurut pihak kedutaan, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kepimpinan Yaman telah memantau rapi siri peningkatan ketenteraan dan keselamatan unilateral yang dilakukan oleh pasukan sekutu STC di kedua-dua wilayah berkenaan.

“Tindakan itu disertai dengan pelanggaran serius yang menjejaskan orang awam, serangan terhadap komuniti tempatan dan kumpulan suku kaum, serta gangguan terhadap kemudahan awam yang penting termasuk penggantungan operasi komersial di Lapangan Terbang Seiyun,” katanya.

Menurut kenyataan itu perkembangan sedemikian berlaku pada waktu yang sangat sensitif ketika Yaman terus berdepan cabaran kemanusiaan yang teruk serta ancaman berterusan daripada kumpulan pengganas Houthi.

Presiden Majlis Kepimpinan Kepresidenan Yaman, Dr Rashad Mohammed Al-Alimi dalam ucapannya pada 30 Disember menegaskan semula komitmen kerajaan Yaman untuk melindungi orang awam, memelihara keamanan sosial serta menjaga perpaduan, kedaulatan dan integriti wilayah Yaman.

Beliau juga menekankan penolakan terhadap sebarang tindakan ketenteraan atau keselamatan yang dijalankan di luar kerangka institusi negara yang sah.

“Kerajaan Republik Yaman mengulangi komitmen teguhnya terhadap perpaduan nasional, kedaulatan undang-undang, kehidupan bersama secara aman dan perlindungan orang awam,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan