SEPANG, 6 Jan (Bernama) -- Sektor informal termasuk penjaja, peniaga kecil, pengusaha makanan dan peniaga pasar tani menjadi tumpuan utama dalam pelaksanaan Banci Ekonomi (BE) 2026 yang bermula semalam hingga 31 Okt 2026.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata banci berkenaan memberi keutamaan kepada sektor informal bagi memastikan aktiviti ekonomi yang sebelum ini sukar dikesan tidak tercicir daripada data rasmi negara.
“Gerak kerja (BE 2026) nampaknya berjalan dengan lancar dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang bekerjasama setakat ini dan kita masih lagi mengikut perancanganlah. Jadi semalam sahaja dianggarkan kita telah menyelesaikan lebih kurang 5,000 responden yang kita telah cerap data.
“Di peringkat awal pemulaan banci ekonomi ini, kita sasarkan kepada pengusaha, peniaga dan perniagaan kecil-kecilan yang perlu kita duduk bersama-sama mereka yang mana mereka tidak ada akaun rasmi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BE 2026 di Medan Selera Bandar Baru Salak Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata anggaran awal menunjukkan kira-kira 300,000 responden terdiri daripada penjaja, peniaga kecil, pengusaha makanan dan perniagaan mikro dari seluruh negara akan dibanci pada peringkat awal pelaksanaan.
Mohd Uzir berkata sektor informal kini berkembang pesat seiring penggunaan media sosial dan platform digital dengan ramai pengusaha menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan tetapi aktif menjana pendapatan.
“Ada yang berniaga secara informal tetapi penggunaan media sosial sangat meluas. Walaupun kedainya kecil atau bergerak, mereka tetap menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Mengenai sektor ekonomi gig, Mohd Uzir berkata sektor berkenaan termasuk pempengaruh dan pencipta kandungan juga turut dibanci menerusi BE 2026 kali ini bagi memberikan gambaran menyeluruh ekonomi negara.
Sementara itu, beliau berkata banci kali ini turut diperkukuh dengan modul baharu berkaitan ekonomi digital dan penggunaan teknologi bagi menilai tahap penerimaan digital dalam kalangan pengusaha mikro dan informal.
Menurutnya, data yang dikumpulkan akan digunakan sebagai asas penetapan penanda aras baharu ekonomi negara selain membantu kerajaan dan agensi berkaitan merangka dasar sokongan yang lebih tepat kepada sektor informal.
Melalui data ini, kita boleh mengenal pasti jurang bekalan, kekangan yang dihadapi dan keperluan sebenar pengusaha kecil supaya bantuan dan dasar yang dirangka lebih bersasar,” katanya.
BE 2026 adalah banci keenam dilaksanakan di Malaysia sejak 2001.
Liputan BE 2026 akan menggunakan Klasifikasi Standard Perindustrian Malaysia 2025 merangkumi lima sektor, 17 seksyen dan 1,216 industri yang dikemas kini bagi mencerminkan perubahan struktur ekonomi semasa termasuk kemunculan industri berasaskan inovasi, tenaga lestari, teknologi maklumat dan ekonomi digital.
Selaras dengan aspirasi pembangunan negara, BE 2026 menyokong pelaksanaan dasar nasional utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Agenda Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0, Matlamat Pembangunan Mampan 2030 dan Pelan Strategik Ekonomi Bumiputera 2035.
BE 2026 turut memberi tumpuan kepada landskap ekonomi baharu dalam memberi penekanan khusus kepada ekonomi rakyat termasuk perkhidmatan bergerak, platform gig, perniagaan mikro dan aktiviti perniagaan tidak formal.
Buat julung kalinya, banci itu akan meliputi sektor informal seperti penjaja makanan, peniaga pasar tani, kedai runcit kecil, pengusaha pengangkutan, inap desa, pusat tuisyen, perniagaan mikro bergerak serta pelbagai aktiviti ekonomi sokongan yang beroperasi yang menyumbang secara signifikan kepada ekosistem ekonomi setempat dan di kawasan bandar terancang seperti Putrajaya.
-- BERNAMA
