AM

PENGUKUHAN EKOSISTEM TARIK RAKYAT BERBAKAT PULANG KE MALAYSIA - RAMANAN

06/01/2026 05:55 PM

PETALING JAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sedang menggiatkan usaha bagi memudahkan rakyat Malaysia yang berbakat dan berkemahiran pulang dari luar negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata usaha terbabit tidak bergantung sepenuhnya terhadap gaji, tetapi juga melibatkan pengukuhan ekosistem tempatan secara menyeluruh untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka, di samping mengambil kira faktor lain yang mempengaruhi keputusan mereka meninggalkan gaji tinggi di luar negara.

Beliau berkata usaha itu meliputi meningkatkan daya saing, memperluas program latihan, menyelaras kemahiran dengan keperluan industri serta membina laluan kerjaya yang lebih jelas termasuk untuk sektor baharu seperti pusat data.

Ramanan berkata perbincangan sedang dijalankan berkaitan program berpotensi untuk menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara pulang dan memberi sumbangan di peringkat tempatan, sambil mengakui bahawa keputusan akhirnya bergantung kepada pilihan individu.

“Kita perlu melihat ekosistem secara menyeluruh, bukan sekadar perbezaan gaji. Sebab itu kita sedang melatih bakat tempatan dan memastikan industri mempunyai akses kepada pekerja Malaysia yang berkemahiran.

“Sudah tentu gaji mungkin lebih menarik di sesetengah negara, namun kos sara hidup di sana juga sangat tinggi. Justeru, kita tidak boleh membandingkan gaji semata-mata,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke ibu pejabat TalentCorp di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp Wong Shu Qi dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan TalentCorp Edward Ling.

Ramanan berkata kementeriannya telah mengambil maklum laporan terkini Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) yang menyatakan gaji tenaga kerja digital negara ini ketinggalan berbanding rakan serantau dan pasaran global terkemuka, sama ada bagi pekerjaan biasa mahupun jawatan tertinggi.

“Kita juga perlu melihat unjuran yang menunjukkan bahawa gaji purata kita dijangka meningkat sebanyak 11 peratus tahun depan, disokong oleh inisiatif latihan dan peningkatan kemahiran yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Wong berkata fokus turut diberikan terhadap pembangunan industri dan berpotensi bernilai tinggi untuk mengukuhkan ekonomi serta menawarkan gaji yang lebih tinggi bagi menarik bakat Malaysia di luar negara pulang secara sukarela.

Beliau berkata usaha juga tertumpu kepada meningkatkan daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan (EODB) untuk menarik pelaburan asing dan domestik, yang seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi.

“Tanpa pelaburan bernilai tinggi dan tawaran pekerjaan bergaji kompetitif, sukar untuk menarik bakat tempatan di luar negara pulang. Kita juga fokus kepada peningkatan daya saing dan EODB, termasuk mempercepat proses pas pekerja (EP).

“Tempoh pemprosesan EP sebelum ini mengambil masa hingga enam bulan, kini dipendekkan kepada antara lima hingga 10 hari menerusi laluan pantas, manakala permohonan biasa dapat diselesaikan dalam tempoh sekitar dua minggu, sekali gus menyokong pelaburan dan pewujudan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan