BERUAS, 12 Jan (Bernama) -- Pembinaan Dataran Gangga Negara menjadi pemangkin utama kepada usaha menghidupkan semula Beruas sebagai sebuah pekan yang aktif, berdaya tarikan dan mesra komuniti, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata dataran itu berfungsi sebagai ruang awam bersepadu untuk masyarakat setempat berkumpul, berinteraksi, beriadah serta menganjurkan aktiviti komuniti yang melibatkan pelbagai lapisan umur, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“Pembinaan Dataran Gangga Negara adalah sebahagian daripada usaha menaik taraf dan memperindah Pekan Beruas secara berperingkat, selari dengan hala tuju pembangunan kawasan ini.
"Projek ini direalisasikan menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd melalui pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan contoh kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sektor swasta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dataran Gangga Negara dan Street Art Pekan Beruas, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu Azman Noh di sini hari ini.
Saarani berkata pengindahan semula Pekan Beruas melibatkan kos keseluruhan RM2.2 juta, dengan fasa pertama memfokuskan pembangunan Laman Memori Beruas yang menampilkan elemen mural dan landskap bagi mengangkat identiti serta memori tempatan.
“Fasa kedua pula melibatkan pembangunan Dataran Gangga Negara serta penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan selamat, khususnya untuk kegunaan warga emas serta kanak-kanak.
"Penekanan penyediaan laluan pejalan kaki atau Beruas walkways yang lebih teratur selari dengan konsep bandar mesra pejalan kaki atau walkable city, yang bukan sahaja meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan penduduk, malah turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya.
Saarani berkata kemudahan awam yang lebih teratur itu juga memberikan sokongan langsung kepada aktiviti ekonomi tempatan apabila peningkatan kunjungan orang ramai membuka peluang kepada peniaga kecil dan usahawan setempat.
"Pembinaan dataran ini juga turut dilihat dalam konteks pembangunan menyeluruh daerah Manjung yang dipacu oleh projek berimpak tinggi seperti Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) selain jaringan perhubungan yang semakin baik termasuk Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
"Bukan itu sahaja, dalam menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, penyediaan kemudahan awam yang kemas dan terurus seperti Dataran Gangga Negara dapat membantu Beruas bersedia menerima kehadiran pelawat serta meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi singgahan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan prasarana, namun kejayaan sebenar pembangunan bergantung pada sejauh mana kemudahan itu dimanfaatkan dan dipelihara masyarakat setempat.
-- BERNAMA
