Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperkenalkan perkhidmatan bas autonomi tanpa pemandu sebagai laluan pelancongan pada tahun ini.
Penolong Pengarah Pengangkutan Bandar dan Komander Pusat Kawalan Operasi Bersepadu Johor Bahru (JBIOCC) Dr Choo Kok Wah berkata pelaksanaan inisiatif berteknologi tinggi itu bakal meletakkan Johor sebagai negeri pertama yang menawarkan pengangkutan seumpama itu untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata perolehan bas berkenaan melibatkan sebahagian daripada geran peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Digital.
“Selari dengan sambutan Tahun Melawat Johor, peringkat awal pengoperasiannya akan melibatkan laluan tertentu khusus untuk kegunaan pelancong,” katanya kepada Bernama.
Menurut Dr Choo, inisiatif ini juga merupakan antara agenda MBJB bagi memenuhi keperluan Penarafan Bandar Pintar Malaysia.
Selain itu, melalui peruntukan sama, MBJB turut memperoleh 30 unit kamera litar tertutup (CCTV) solar mudah alih dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), yang akan ditempatkan di lokasi tumpuan pembuangan sampah haram bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.
MBJB juga merancang menambah tiga unit dron bagi menyokong operasi lapangan, termasuk pemantauan kawasan dan tindak balas awal kecemasan.
“Dron ini berpotensi digunakan sebagai alat penghantaran peralatan kecemasan seperti Automated External Defibrillator (AED) di kawasan awam sekiranya berlaku kes serangan jantung,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MBJB merancang menambah kira-kira 2,000 unit CCTV AI bagi menyokong operasi JBIOCC, pusat kawalan yang memantau bandar raya Johor Bahru. CCTV ini akan dipasang di persimpangan jalan utama bagi memudahkan pengurusan trafik melalui analisis aliran kenderaan secara masa nyata.
“Maklumat daripada CCTV AI akan digunakan untuk melaras tempoh lampu isyarat hijau sekiranya berlaku kesesakan di sesuatu persimpangan,” jelas beliau.
Sejak JBIOCC beroperasi pada Disember 2023, sebanyak 500 unit CCTV dengan 15 ciri AI telah ditempatkan di sekitar bandar raya itu. Pusat kawalan ini dilengkapi skrin paparan sepanjang 12 meter dan memantau aspek keselamatan, jenayah, bencana, kesesakan lalu lintas, kebersihan alam sekitar serta kerosakan jalan raya.
Pusat kawalan ini mampu mengesan kira-kira 10,000 insiden setiap bulan dan JBIOCC akan menyelaras kesemua insiden berkenaan melalui perkongsian maklumat kepada jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan, bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil dalam tempoh 24 jam.
-- BERNAMA
