KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ketegasan dengan menitahkan supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran, dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
“Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya menemuinya. Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya patut melantik seorang sarjan sahaja sebagai Panglima Angkatan Tentera.
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau the tip of the iceberg. Saya yakin ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.
Sultan Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana wakil rakyat, anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam yang terlibat dalam rasuah adalah pengkhianat negara kerana mengkhianati amanah rakyat.
“Kepada semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara. Jika awak menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam dan menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah ‘pengkhianat negara’,” tegas Seri Paduka Baginda.
Baginda bertitah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendaklah menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Dalam usaha memperkukuh pembanterasan rasuah, Sultan Ibrahim turut menekankan kerajaan perlu menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat juga harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
“Suka saya ingatkan di sini, segala perancangan yang dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa,” titah Seri Paduka Baginda.
Selain itu, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur tahun lepas.
“Syabas juga saya ucapkan, walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran, Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.7 peratus pada tahun lalu dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah, serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus,” titah Seri Paduka Baginda.
-- BERNAMA
