AM

DEWAN RAKYAT BINCANG PRESTASI EKONOMI 2025, PENDIRIAN MALAYSIA SEBAGAI NEGARA BERKECUALI

20/01/2026 08:25 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan mengenai prestasi pertumbuhan ekonomi tahun 2025 serta pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) meminta Perdana Menteri menyatakan faktor yang menyumbang kepada prestasi pertumbuhan ekonomi 2025 yang dijangkakan akan mengatasi unjuran antara empat hingga 4.8 peratus susulan anggaran awalan suku empat 2025 sebanyak 5.7 peratus, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) turut bertanyakan Perdana Menteri sama ada wujud keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia dapat terus mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali dalam suasana perkembangan geopolitik mutakhir ini.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Menteri Digital menyatakan bagaimana undang-undang kecerdasan buatan (AI) akan mengatasi isu-isu perundangan seperti keupayaan dari segi undang-undang, niat dan sebab munasabah supaya sistem tersebut dapat dipertanggungjawabkan secara langsung oleh pengguna dan sesiapa sahaja yang hak asasinya terjejas.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula mengajukan soalan kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai sejauh mana tahap kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda khususnya generasi Z.

Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian mempunyai strategi yang jelas dan tersusun untuk menyemai semangat berkenaan menerusi pelbagai platform bagi memastikan ia tidak luntur dibawa arus pemodenan.

Turut tersenarai, soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan tegas kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kewujudan perkhidmatan Coach Cerai yang akan menormalisasikan penceraian, sekali gus meruntuhkan institusi kekeluargaan umat Islam di negara ini.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan diikuti dengan sesi perbahasan usul berkenaan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac manakala Dewan Negara akan bermula pada 23 Feb.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan