AM

TITAH YANG-DIPERTUAN AGONG PERKUKUH PERANAN BAHASA MELAYU SEBAGAI LAMBANG KEDAULATAN - PENA

20/01/2026 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-15, mencerminkan kewibawaan baginda dalam memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai lambang kedaulatan dan identiti nasional. 

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata ketegasan baginda amat penting dalam menghadapi situasi semasa, khususnya apabila terdapat pihak tertentu yang berani mencabar kedudukan bahasa Melayu sekali gus menegaskan negara yang berdaulat mempunyai Perlembagaan yang harus dihormati.

“PENA menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan kepentingan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

“Provokasi oleh segelintir pemain politik sehingga mencabar Perlembagaan boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara. Jangan jadikan bahasa Melayu sebagai alat tawar-menawar dalam percaturan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata penghormatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong juga selari dengan ideologi negara yang ditegakkan melalui Rukun Negara.

“Mencabar ‘pasak negara’ negara hanya akan menyebabkan ketidakstabilan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wafiyuddin Musa menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong sebagai pernyataan berwibawa, yang bukan sahaja memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai lambang kedaulatan dan identiti nasional, malah sebagai asas penting dalam pembinaan bangsa yang utuh.

“Hal ini kerana sistem pendidikan yang kuat dan berpaksikan bahasa kebangsaan merupakan tunjang kepada pembentukan jati diri, kefahaman sejarah negara serta keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya. 

Wafiyuddin berkata pemerkasaan bahasa Melayu bukan bermakna menolak kepentingan bahasa lain, tetapi memastikan asas pendidikan dan perpaduan nasional berada pada titik temu yang mantap dan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata bahasa Melayu berperanan sebagai alat penyatu rakyat Malaysia, memastikan setiap individu memahami dan menghormati sejarah serta nilai-nilai asas negara.

“GPMS berpendapat pemantapan bahasa kebangsaan pada semua peringkat pendidikan akan memperkukuh perpaduan nasional, memupuk kesetiaan kepada negara, serta memberi peluang kepada generasi muda untuk terus berdaya saing dalam arena global tanpa mengabaikan akar budaya dan nilai teras bangsa,” tambahnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan