PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggubal serta meminda beberapa undang-undang utama tahun ini bagi memperkukuh perlindungan pengguna.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata antaranya ialah penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang menetapkan prosedur atau mekanisme penyelesaian pertikaian tuntutan tebus rugi bagi pembelian kenderaan baharu.
“Sebenarnya, kita sudah ada undang-undang berkaitan... bukannya tidak ada langsung tetapi masih ada kelemahan yang perlu kita tangani.
“Isu ini penting untuk memastikan pendekatan terbaik termasuklah buy-in dan penerimaan daripada industri... maka, kita perlu melaksanakan libat urus dan perbandingan untuk penanda aras terhadap amalan terbaik yang dilaksanakan oleh beberapa negara lain,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPDN di sini hari ini.
Armizan berkata pihaknya juga akan menggubal atau meminda undang-undang berkaitan e-dagang bagi menangani peningkatan aduan pengguna serta memastikan ekosistem e-dagang yang lebih kondusif dan mampan.
“Kita melihat apakah bentuk kawal selia yang kita perlu lakukan supaya kepentingan pengguna dapat kita lindungi iaitu apabila mereka membeli melalui platform e-dagang, terjamin barang yang sampai sebagaimana kualiti dan kuantiti yang ditetapkan,” katanya.
Armizan berkata kedua-dua perkara itu adalah antara lima kluster reformasi undang-undang dan institusi KPDN yang disasarkan untuk dibentang di Parlimen tahun ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 bagi memperkukuh kawal selia terhadap amalan jualan langsung serta skim pelaburan berisiko agar pengguna dilindungi daripada penipuan dan eksploitasi.
Selain itu, Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar akan digubal bagi mewujudkan sistem pendaftaran untuk kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman selain meminda Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa kuasa kawal selia Suruhanjaya Persaingan Malaysia dalam memerangi kartel atau monopoli bermasalah dalam pasaran.
Beliau juga berkata pada tahun ini, KPDN memberi fokus untuk menterjemahkan segala perancangan kepada pelaksanaan pelan tindakan yang impaknya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Armizan berkata usaha itu membabitkan tiga indikator iaitu blueprint, footprint dan imprint.
Ia bermakna dasar dan pelan (blueprint) akan dilaksana dalam bentuk inisiatif, program serta penguatkuasaan (footprint) yang menghasilkan hasil (imprint) yang boleh diukur melalui petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat.
“Kita telah memutuskan untuk meneruskan kesinambungan pelaksanaan kerangka besar hala tuju yang telah dilaksanakan sejak 2024 yang melibatkan empat fokus iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan serta NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara).
“Bagi tahun 2026, gerak kerja hala tuju ini dianjakkan dengan menggariskan tiga indikator iaitu blueprint, footprint dan imprint untuk memastikan aspirasi rakyat dimaknai,” katanya.
-- BERNAMA
