IPOH, 22 Jan (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh latihan kepada bakal guru selari dengan dasar pendidikan negara yang menekankan pendekatan pedagogi terkini serta pembelajaran berpusatkan murid di sekolah.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pengukuhan latihan tersebut secara tidak langsung mampu menerapkan nilai keinsanan yang tinggi dalam kalangan bakal pendidik, selain menitikberatkan aspek integriti dan profesionalisme bagi membentuk sahsiah guru yang berkualiti.
“UPSI sentiasa komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam memastikan pelaksanaan dasar pendidikan negara dapat direalisasikan.
“Ia seterusnya memberi impak dalam melahirkan pendidik yang berkualiti demi kelestarian pendidikan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Md Amin berkata UPSI turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berhubung hala tuju baharu Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.
Ia termasuk penstrukturan semula umur kemasukan murid ke sistem pendidikan formal negara, dengan prasekolah ditetapkan bermula pada umur lima tahun dan Tahun Satu pada umur enam tahun bermula 2027, bergantung kepada kesediaan ibu bapa.
Anwar berkata langkah itu selaras dengan usaha memastikan kesediaan pembelajaran kanak-kanak diperkukuh sejak peringkat awal di samping menyokong pembangunan potensi murid secara lebih seimbang.
-- BERNAMA
