AM

KES BABITKAN JUTAAN RINGGIT, PENDAKWAAN AKAN BUKTIKAN TUDUHAN TERHADAP BEKAS PTD, ISTERI

22/01/2026 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pihak pendakwaan akan membuktikan kes terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata meskipun terdapat risiko dan pelbagai halangan dalam mengendalikan kes berkenaan, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pertuduhan dapat dibuktikan di mahkamah.

“Kes ini membabitkan jutaan ringgit. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk membuktikan kes ini. Itu prinsip saya. Saya tidak boleh mengatakan dengan pasti bahawa akan berlaku sabitan, namun kami akan melakukan yang terbaik. Kita tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata Muhammad Hafizuddeain akan berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok, manakala isterinya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan atas pertuduhan serupa. 

“Kesemua kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk digabungkan dan dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Muhammad Hafizuddeain berkata anak guamnya akan berjuang habis-habisan untuk membersihkan namanya.

“Kes ini masih di peringkat awal dan anak guam saya belum dibuktikan bersalah,” katanya.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Muhammad Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Salwani pula mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM77,000.

Pada 7 Jan lepas, SPRM menerusi Ops Parasit telah menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan