Oleh R.Ratcharathan
GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Setiap kali menjelang Thaipusam di Pulau Pinang, ribuan biji kelapa diangkat, dipecahkan dan diserahkan sebagai tanda nazar, khususnya sepanjang perjalanan perarakan pedati emas dan perak sebagai ritual keagamaan.
Uniknya, ritual tersebut bukan sahaja disertai penganut Hindu, malah turut menarik penyertaan kaum Cina, Bengali serta pelancong asing yang sanggup menunggu berjam-jam di sisi longgokan kelapa, menanti ketibaan pedati yang membawa Dewa Murugan dan vel (lembing), senjata suci dewa itu.
Namun, tidak ramai menyedari bahawa setiap biji kelapa yang dipecahkan membawa kisah tersendiri tentang kerja keras, doa, harapan dan warisan keluarga, selain melibatkan rantaian persiapan yang bermula lebih awal, khususnya di peringkat pembekal.
Bagi M Joel Jayachandran, 41, pembekal kelapa yang telah berkecimpung dalam industri itu sejak usia 18 tahun, perniagaan kelapa bukan sekadar urusan jual beli, sebaliknya satu legasi keluarga yang telah bertahan hampir tiga dekad bersama bapanya.
Beliau berkata persiapan bekalan kelapa untuk Thaipusam biasanya dilakukan bermula sebulan lebih awal, melibatkan proses pemilihan buah di ladang, pemotongan, pengupasan, pembungkusan serta penghantaran dari estet di Bagan Datuk, Perak ke Pulau Pinang.
"Untuk Thaipusam, penyediaan kami bermula di ladang dulu, kami akan buat persediaan dalam sebulan lebih awal, kemudian kami akan bawa ke kedai saya di George Town, satu minggu sebelum hari Thaipusam," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Pemilik Joez Coconut itu berkata sambutan Thaipusam sentiasa membawa peningkatan permintaan berbanding hari biasa dan setiap tahun antara 50,000 hingga 80,000 biji kelapa disediakan bergantung kepada jumlah tempahan.
Beliau berkata tahun ini, bekalan kelapa lebih stabil berbanding tahun lepas yang berdepan kekurangan stok, namun menegaskan harga kelapa kekal RM2.50 sebiji, sama ada pada hari biasa atau sempena Thaipusam.
Dari segi spesifikasi pula, Joel Jayachandran berkata pelanggan sangat menitikberatkan saiz dan kesesuaian untuk upacara memecahkan kelapa.
"Mereka perlukan kelapa yang senang pegang dengan satu tangan kerana kalau terlalu besar, boleh terlepas dan terkena orang lain. Oleh itu, kelapa mawar menjadi pilihan utama kerana saiznya sederhana berbanding kelapa kampung, kelapa mataq atau kelapa Indonesia yang lebih besar.
Bapa kepada dua anak itu berkata antara cabaran dihadapi ialah tempahan saat akhir yang menyukarkan proses penyediaan selain faktor cuaca, kerana ladangnya pernah dilanda banjir pada Disember lepas, menyebabkan kerja-kerja penyediaan tergendala.
Sehubungan itu, Joel Jayachandran berkata bagi mereka yang datang secara tiba-tiba tanpa tempahan, pihaknya sentiasa bersedia dengan stesen jualan segera pada hari perarakan pedati, iaitu sehari sebelum sambutan Thaipusam.
Meskipun perniagaan kelapa kekal relevan, beliau mengakui cabaran terbesar kini ialah kekurangan tenaga kerja untuk kerja-kerja berat seperti mengupas dan memproses kelapa, tetapi beliau percaya perniagaan tradisional seperti itu masih mempunyai masa depan cerah jika diurus dengan betul.
Mengenai sisa kelapa selepas upacara, beliau berkata pembekal tidak mengambil semula kelapa yang dipecahkan dan ia diurus sepenuhnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam pada 1 Feb ini bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, untuk menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
-- BERNAMA
