PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan hari ini menyalurkan peruntukan fasa pertama program Dharma MADANI berjumlah RM3.1 juta kepada 155 buah rumah ibadat komuniti India di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata Dharma MADANI adalah usaha dan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan rumah ibadat sebagai pusat komuniti setempat bagi menjalankan aktiviti ibadat, pembelajaran, kerohanian, kebudayaan serta pembangunan sosial masyarakat.
“Pusat komuniti ini akan berperanan sebagai platform penyatuan masyarakat, pemerkasaan nilai murni serta pengukuhan jaringan sokongan sosial di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani dan penyerahan surat pemaklumkan program Dharma MADANI KESUMA di sini hari ini.
Beliau berkata program Dharma MADANI menyasarkan penyertaan 1,000 buah rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara, dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
“Melalui program ini, bantuan kewangan secara sekali beri berjumlah RM20,000 akan disalurkan kepada setiap rumah ibadat yang layak.
“Sejak pendaftaran dibuka, sebanyak 915 permohonan telah diterima dan diteliti oleh MITRA selaras dengan tatakelola serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Baki permohonan diterima akan dipertimbangkan dalam fasa kelulusan seterusnya, dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan memaklumkan keputusan rasmi kepada pihak kuil yang terlibat dari semasa ke semasa,” katanya.
Ramanan berharap pengerusi dan wakil pengurusan kuil akan memanfaatkan peruntukan disalurkan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tatakelola yang baik, serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh komuniti India setempat.
“Saya juga berharap agar para pentadbir kuil melaksanakan program komuniti secara telus dan berintegriti, mematuhi skop kelulusan serta garis panduan ditetapkan, di samping mengemukakan laporan perbelanjaan yang lengkap dan sahih selaras dengan keperluan tadbir urus,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Program Dharma MADANI, iaitu satu inisiatif Kerajaan MADANI bagi menyalurkan bantuan sekali beri RM20 juta kepada 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara pada Ogos tahun lepas.
Menerusi program ini, setiap kuil yang layak akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM20,000, sebagai pendekatan memperkasakan institusi rumah ibadat Hindu, dan dilaksanakan di bawah seliaan MITRA.
-- BERNAMA
