KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Yayasan Salam Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di seluruh negara, akan menganjurkan acara cari harta karun bertemakan perpaduan serta forum mengenai kesejahteraan mental dan kecerdasan budaya pada 8 Feb ini.
Yayasan Salam dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara itu dianjurkan bersama Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP) iaitu sebuah entiti di bawah Arkib Negara dan Kementerian Perpaduan Negara.
Pemegang Amanah Yayasan Salam Datuk Yong Soo Heong berkata pencarian harta karun itu secara amnya ialah acara berjalan kaki memandangkan soalan-soalan berdasarkan bahan pameran di dalam dan di luar MTARP.
Beliau berkata ia bagi mewujudkan pengalaman menggembirakan dan interaktif dalam suasana perpaduan dan kepelbagaian.
“Ia ialah medan untuk membentuk persahabatan baharu dan mengukuhkan ikatan perpaduan,” katanya sambil menambah bayaran masuk untuk dewasa ialah RM200 bagi satu kumpulan empat peserta manakala penyertaan pelajar sekolah menengah adalah percuma.
Menurut Yayasan Salam, bagi memastikan peserta memahami dan mengamalkan prinsip perpaduan, pasukan akan terdiri daripada individu dari latar belakang etnik berbeza dalam kedua-dua kategori pelajar dan dewasa, dengan setiap pasukan dikehendaki mempunyai peserta daripada sekurang-kurangnya dua kumpulan etnik.
Mengenai forum kesejahteraan mental dan kecerdasan budaya, Yayasan Salam memaklumkan forum itu akan meneroka strategi praktikal untuk menggalakkan kesejahteraan mental bagi komuniti, meningkatkan produktiviti di tempat kerja dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kecerdasan serta empati budaya untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia.
Forum berkenaan akan menampilkan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Datuk Dr Andrew Mohanraj selain pakar strategi hubungan antara etnik dan penulis berpangkalan di Melbourne, Dr Jamel Kaur Singh.
Acara tersebut juga sebagai penghormatan kepada visi Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia yang dibina atas keharmonian, keterangkuman dan kemanusiaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Zaidin Mohd Noor berkata inisiatif kerjasama strategik itu meningkatkan lagi pengetahuan awam, pemahaman dan penghayatan mengenai tokoh negara, sejarah dan aset warisan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
-- BERNAMA
