BEIJING, 28 Jan (Bernama-CMG) -- Jawatankuasa Penasihat Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) mengadakan mesyuarat secara sidang video pada Selasa, dan melancarkan laporan penyelidikan bertajuk "Inisiatif Jalur dan Laluan: Kerjasama Ekonomi Antarabangsa Berkualiti Tinggi".
Menurut laporan itu, pembinaan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) telah menyumbang kepada kestabilan global ketika dunia kini berdepan ketidakpastian.
Laporan itu turut menekankan bahawa tadbir urus global dan multilateralisme sangat bergantung kepada kepercayaan politik, perjanjian kerjasama ekonomi dan perdagangan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan tindakan kolektif.
Pembinaan bersama BRI telah memperkukuh kepercayaan antara negara, yang dianggap sebagai sumbangan penting kepada kemajuan dunia, menurut laporan berkenaan.
Naib Menteri Luar China Ma Zhaoxu ketika menyampaikan ucapan dalam mesyuarat itu berkata negara anggota BRI komited untuk meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan bersama selain mempergiat kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada semua pihak, sekali gus menyampaikan isyarat positif mengenai kesatuan, kerjasama dan hasil sama menang.
-- BERNAMA-CMG
