KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pendaftaran murid Tahun Satu bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac 2026 melalui Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS).
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan pendaftaran menerusi https://idme.moe.gov.my terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia kohort enam tahun (5+) iaitu lahir antara 2 Jan hingga 31 Dis 2021 dan tujuh tahun (6+) yang lahir antara 2 Jan 2020 hingga 1 Jan 2021.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan keputusan kerajaan yang membuka peluang kepada kanak-kanak berusia enam tahun (5+) memasuki Tahun Satu bermula 2027 secara sukarela dan tanpa perlu menduduki ujian saringan.
“Ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata maklumat lanjut berkaitan perkara itu boleh dirujuk menerusi laman portal rasmi KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Mohd Azam berkata inisiatif untuk menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (5+) ke Tahun Satu adalah langkah progresif Kerajaan MADANI bagi memastikan perkembangan sertan kesejahteraan kanak-kanak, dan pada masa sama memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu, namun ia tidak diwajibkan dan bergantung kepada ibu bapa.
-- BERNAMA
