JOHOR BAHRU, 29 Jan (Bernama) -- Sebanyak 157 penduduk daripada 51 keluarga yang terjejas akibat kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini setelah keadaan semakin pulih.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi Miswan Yunus berkata kedua-dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal ditutup pada 10 pagi tadi.
“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan perumahan penduduk yang terjejas juga semakin menurun ke tahap normal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata setakat ini kebakaran berjaya dikawal, dengan tompokan besar kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
“Bomba bagaimanapun sedang memastikan tompokan-tompokan kecil kebakaran dapat dipadam sepenuhnya agar ia tidak merebak menjadi besar semula,” katanya.
PPS berkenaan dibuka sejak Isnin lepas berikutan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan, menyebabkan penduduk sukar bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal serta bau asap yang kuat.
Semalam, Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang membantu misi pemadaman dengan melaksanakan kaedah pengeboman air.
-- BERNAMA
