SIBU, 29 Jan (Bernama) -- Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak melupakan asal-usul dan terus mempertahankan maruah negeri yang kini semakin dihormati hasil pembangunan mampan serta kepimpinan berwawasan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lalu apabila negeri ini menjadi tumpuan dan contoh kepada negeri-negeri lain.
“Anak Sarawak bukan sahaja tidak lagi dipinggirkan, malah semakin dihormati,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Sibu di sini, hari ini.
Beliau berkata kemajuan negeri bukan sahaja diukur melalui kekayaan, tetapi juga melalui maruah, kestabilan, perpaduan dan rasa hormat yang telah dibina.
Katanya Kerajaan Negeri Sarawak juga memberi keutamaan kepada pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pemberian wang saku RM1,200 kepada semua pelajar universiti anak Sarawak tanpa mengira latar belakang pendapatan.
Dalam sektor kesihatan, Dr Sim berkata Sarawak terus mencatat kemajuan melalui pembangunan pelbagai inovasi perubatan di Sibu dan Kuching serta penglibatan pakar tempatan yang memilih untuk berkhidmat di negeri ini.
Katanya kerajaan negeri menyokong usaha menjadikan Sarawak sebagai hab pendidikan dan kesihatan serantau melalui kerjasama dengan institusi bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan Sarawak hanya dapat dicapai melalui perpaduan, integriti dan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pelantikan KMKK amat penting kerana mereka merupakan wakil rakyat di peringkat akar umbi serta penghubung antara masyarakat dan kerajaan.
“Pelantikan ini bukan sekadar gelaran, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab besar yang mencerminkan kepercayaan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
