BUKIT MERTAJAM, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang merekodkan kutipan hasil sebanyak RM190.55 juta tahun lepas, meningkat 7.86 peratus berbanding RM176.68 juta pada 2024.
Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata jumlah itu membabitkan 1.6 juta transaksi dengan paling tinggi adalah lesen kenderaan motor (LKM).
“Bilangan transaksi meningkat sebanyak tujuh peratus daripada 1.5 juta transaksi pada 2024 kepada 1.6 juta tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan pertandingan boling sempena Majlis Jalinan Mesra Media 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata peningkatan konsisten itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi pengurusan hasil, selain pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan serta peningkatan penggunaan perkhidmatan digital oleh pelanggan.
Zulkifly berkata pencapaian itu juga menggambarkan tahap keyakinan orang awam yang semakin tinggi terhadap kecekapan perkhidmatan JPJ negeri ini.
Beliau berkata pihaknya terus komited memperkukuh tadbir urus kewangan yang berintegriti, meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan serta menyokong agenda keselamatan jalan raya dan pembangunan sistem pengangkutan negara.
Zulkifly berkata JPJ Pulau Pinang turut merekodkan hasil berjumlah RM28.5 juta daripada bidaan 12 siri nombor pendaftaran yang dikeluarkan melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sepanjang 2025.
Terdahulu, Zulkifly dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak media atas sokongan serta kerjasama diberikan dalam membuat liputan operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di negeri ini dan berharap hubungan baik itu dapat terus diperkukuh pada masa hadapan.
-- BERNAMA
