EKONOMI

KPF LUNAS BAYARAN RM1.21 BILION KEPADA AHLI SEPANJANG TEMPOH 2020-NOV 2025 -- AHMAD ZAHID

29/01/2026 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah membayar sejumlah RM1.21 bilion kepada ahlinya bagi permohonan pengeluaran syer dan dividen tahunan dalam tempoh 2020 hingga 30 Nov 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah permohonan pengeluaran syer yang diterima daripada anggota dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM909.85 juta melibatkan 30,343 anggota. 

Beliau berkata, permohonan yang telah diproses dan dibayar adalah sebanyak RM547.16 juta melibatkan 20,143 anggota.  

"Manakala baki RM362.69 juta merangkumi 10,220 anggota bagi permohonan 2024 hingga 30 Nov 2025 sedang dibayar mengikut penggiliran secara berfasa tertakluk kedudukan aliran tunai semasa.

"Keutamaan diberikan kepada kes kritikal dan mendesak seperti haji/ umrah/ agama, perubatan, hartanah, pendidikan, anggota meninggal, mahkamah dan lain-lain keperluan mendesak," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan KPF melunaskan bayaran jualan saham tertunggak hampir dua tahun yang menjejaskan kebajikan ahli termasuk warga emas dan peneroka Felda.

Ahmad Zahid berkata dalam tempoh yang sama KPF telah membayar dividen tahunan berjumlah RM659.7 juta pada kadar antara lima hingga tujuh peratus kepada anggotanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan sedang dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan pengeluaran syer oleh anggota dan penyusunan semula aset pelaburan bagi pendapatan mampan jangka panjang. 

Menurutnya, sebahagian daripada pelan rasionalisasi tersebut telah berjaya dimuktamadkan pada 2025 dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM239 juta. 

"Hasil tersebut digunakan untuk bayaran dividen 2024 berjumlah RM129 juta melibatkan lebih 250,000 anggota dan sebahagian lagi iaitu RM82 juta untuk bayaran pengeluaran syer oleh anggota. 

"Sebahagian lagi pelan rasionalisasi tersebut sedang dilaksanakan iaitu pelupusan sebahagian aset perladangan dan hartanah," kata Ahmad Zahid.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan