KUANTAN, 29 Jan (Bernama) -- Pembinaan sebuah bangunan serba guna di Chengal Lempong di sini yang dilaksanakan menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI dimanfaatkan sebagai pusat tadika untuk anak-anak penduduk setempat.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata bangunan berkenaan dibina dengan peruntukan berjumlah RM600,000 yang disalurkan melalui inisiatif berkenaan.
"Sehubungan itu, saya telah mengadakan tinjauan ke bangunan berkenaan bagi melihat sendiri keadaan fizikal, kualiti pembinaan dan kesesuaian fasiliti yang disediakan.
"Hasil tinjauan mendapati bangunan ini dibina dengan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan dan fungsi pelbagai guna selari dengan keperluan masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Farhan berkata pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar khususnya melalui penyediaan kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Beliau turut berharap kemudahan berkenaan dapat digunakan sepenuhnya oleh penduduk setempat dan dipelihara dengan baik agar terus memberi manfaat bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti pada masa hadapan.
-- BERNAMA
