JENAYAH & MAHKAMAH

SEORANG WANITA MAUT, TIGA LAGI AHLI KELUARGA CEDERA DALAM NAHAS DI TAMAN BERTAM IMPIAN

07/02/2026 07:39 PM

MELAKA, 7 Feb (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala tiga lagi ahli keluarganya, termasuk bayi berusia enam bulan, cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang di Taman Bertam Impian di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 tengah hari sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dikerah ke lokasi kejadian.

"Terdapat empat mangsa... terdiri daripada sepasang suami isteri, anak perempuan mereka yang berusia 25 tahun serta seorang cucu," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata insiden itu menyaksikan kereta yang dipandu suami mangsa berusia 69 tahun dipercayai terbabas dari kawasan parkir sebelum masuk ke dalam longkang berkenaan, dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba. 

Mohd Hafidzatullah berkata wanita berusia 56 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ahli keluarganya yang cedera diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Beliau juga berkata kes itu kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan