DUNIA

JEMALUANG DAIRY VALLEY, MAJAS CHAMKAR JALIN KERJASAMA DALAM PROJEK LADANG TENUSU

10/02/2026 03:25 PM

Oleh Vijian Paramasivam

 

PHNOM PENH, 10 Feb (Bernama) -- Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd dari Malaysia menjalin kerjasama dengan DP Majas Chamkar Co Ltd dari Kemboja bagi melancarkan ladang tenusu bersepadu serta kemudahan pemprosesan susu segar bernilai RM39 juta (US$10 juta) di negara itu.

Kedua-dua syarikat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 7 Feb lepas di Phnom Penh bagi memulakan projek berkenaan, lapor media rasmi kerajaan Agence Kampuchea Presse pada Selasa.

“Kejayaan dalam industri tenusu bukan sekadar memiliki lembu, sebaliknya ia mengenai kemahiran teknikal dalam pemakanan, penjagaan serta rantaian pengeluaran.

“Fokus kami adalah terhadap kualiti, keselamatan dan kebersihan bagi memastikan pengguna di Kemboja menerima susu segar gred premium,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Qasem Alhasan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majas Chamkar Tieng Phalla dan Qasem, dengan matlamat meningkatkan pengeluaran susu segar bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.

Sebagai langkah awal, kedua-dua syarikat telah membuat pesanan 500 ekor lembu tenusu dari Australia, dengan operasi dijangka bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut laporan media rasmi itu.

“Melalui kerjasama dengan peneraju dari Malaysia yang memiliki piawaian teknikal antarabangsa, kami bukan sekadar mencari keuntungan. Kami memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan serta membina jenama “Produk Kemboja” yang boleh dibanggakan negara,” kata Phalla.

Menurut laporan itu, Majas Chamkar yang beroperasi dalam sektor ternakan menguruskan lebih 3,000 ekor lembu berkualiti tinggi, termasuk baka Wagyu dari Jepun, Angus dari Australia, Brahman dari Amerika Syarikat dan Charolais dari Perancis.

Jemaluang Dairy Valley mengendalikan kemudahan pengeluaran susu segar berskala besar di Mersing, Johor.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan