AM

TIADA INDIVIDU ATASI UNDANG-UNDANG, DAKWAAN LIBAT KETUA PESURUHJAYA SPRM DITELITI - KULASEGARAN

10/02/2026 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Prinsip kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua individu tanpa pengecualian termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan terbaharu berhubung isu pemilikan saham melibatkan Tan Sri Azam Baki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengesahkan dakwaan laporan media antarabangsa itu sebelum sebarang keputusan muktamad diambil. 

Beliau berkata kedudukan undang-undang di Malaysia adalah jelas dan tidak memberi perlindungan khas kepada mana-mana pihak termasuk kepimpinan agensi penguatkuasaan.

"Kita perlu faham, tiada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang di Malaysia. Ini termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Isu berkenaan dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai laporan Bloomberg hari ini berhubung pemilikan saham oleh Azam yang didakwa mencecah jutaan unit dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan