KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Lembaga Disiplin Bersatu memecat 17 ahlinya setakat hari ini, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal antara yang dipecat, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
“Betullah tu,” jawabnya secara ringkas merujuk kepada penularan notis makluman bertarikh hari ini yang dikemukakan kepada Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Datuk Mohd Radzi Manan.
Selain Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu, turut dipecat ialah Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan Ahli Parlimen Larut, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan.
Dua ADUN yang dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka) yang juga Ketua Pembangkang negeri itu.
Selain itu, sembilan Ketua Bahagian Bersatu yang dipecat ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Dalam notis itu, dimaklumkan Lembaga Disiplin telah melaksanakan tugas-tugasnya di bawah Tatacara Pengurusan Kes Disiplin Bersatu pada 12 Feb 2026 dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan peruntukan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Notis itu turut menyatakan mana-mana ahli parti Bersatu yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan bagi pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu dikeluarkan.
-- BERNAMA
