JENAYAH & MAHKAMAH

ISU SAHAM: USJT BUKIT AMAN SIASAT KES FITNAH TERHADAP AZAM BAKI

14/02/2026 12:23 AM

KUALA LUMPUR,  13 Feb (Bernama) -- Kes fitnah membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Perkara terbabit disahkan Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar selepas pihaknya menerima laporan polis hari ini berhubung pemilikan saham Azam dalam sebuah syarikat yang didakwa oleh sebuah media antarabangsa.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan pada 10 Feb lepas oleh media antarabangsa itu disyaki mengandungi kenyataan fitnah terhadap Azam.

“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata  siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.

Pada Rabu lepas, Azam menjelaskan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham di mana-mana syarikat dan semua urus niaga saham sebelum ini dijalankan dengan telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan, sambil menambah bahawa akaun dagangannya kini kosong dan boleh disahkan dengan Bursa Malaysia.

Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan