AM

KEREPEK NGAKU KUDAPAN PILIHAN TAHUN BAHARU CINA, DAPAT PERMINTAAN DARI SINGAPURA, BRUNEI

13/02/2026 01:44 PM

KOTA BHARU, 13 Feb (Bernama) -- Kerepek ubi ngaku atau arrowhead kekal sebagai kudapan pilihan masyarakat Cina pada sambutan Tahun Baharu Cina, dengan mendapat permintaan tinggi dari Singapura dan Brunei.

Penguasaha kerepek ngaku Rohayu Wahidin, 39, berkata musim ubi itu hanya setahun sekali iaitu antarar November hingga Februari, dan dalam tempoh itu dia sudah menerima tempahan hingga jualan mencecah RM4,000 setakat ini.

"Kita boleh makan ubi ngaku ini setahun sekali sahaja, musim lain memang sukar dan sebab itulah ia unik dan digemari pelbagai kaum," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya dekat Kampung Panji di sini, baru-baru ini.

Rohayu berkata idea mengusahakan kerepek ngaku tercetus selepas melihat rakan memuat naik proses pembuatan di Facebook, sebelum mencubanya sendiri pada 2020.

"Pada musim ini sahaja, saya dapat hasilkan kira-kira 45 kilogram (kg) kerepek yang siap digoreng iaitu bersamaan dengan 180 kg ubi ngaku mentah. 

"Permintaan sekarang sampai ke Singapura dan Brunei. Kita juga jual melalui platform media sosial yang lain seperti Shopee dan TikTok," katanya sambil menambah turut menerima tempahan dari badan korporat sebanyak 100 balang bersaiz kecil baru-baru ini.

Rohayu berkata kebanyakan pelanggan terdiri daripada masyarakat Cina yang sudah sinonim dengan ubi ngaku sebagai hidangan bermusim, selain turut digemari dan mendapat perhatian daripada kaum Melayu dan India.

"Dari segi penyediaan, proses membuat kerepek ngaku tidak jauh berbeza dengan kerepek ubi lain iaitu bermula dengan mengupas, membasuh, menyagat nipis sebelum digoreng dalam minyak panas.

"Selepas digoreng, kerepek akan dimasukkan ke dalam mesin penyaring minyak bagi mengurangkan lebihan minyak supaya lebih tahan lama dan tidak cepat tengik sebelum dibungkus mengikut saiz," katanya.

Menurutnya, kerepek ngaku asli tidak memerlukan garam, namun terdapat pelanggan yang menggemari rasa tambahan.

"Selain perisa asli, kita tambah beberapa perisa lain seperti pedas, keju dan telur masin. Ada juga pelanggan minta rasa lebih masin,” katanya.

Kerepek ngaku terdapat dalam tiga saiz iaitu kecil dengan berat 90 gram (gm) yang dijual pada harga RM11 sebalang, sederahana (160gm, RM 19) dan besar (380gm, RM42).

Katanya, cabaran utama adalah untuk mendapatkan bekalan ubi ngaku kerana ia tidak dijual di semua pasar raya dan kadang kala perlu mendapatkan bekalan dari negeri lain seperti Pahang.

"Permintaan biasanya meningkat berkali ganda menjelang perayaan, menyebabkan saya serta pembantu terpaksa bekerja hingga lewat malam bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan