POLITIK

PKR BERADA PADA TAHAP TERBAIK - ANWAR

13/02/2026 09:00 PM

ALOR SETAR, 13 Feb (Bernama) -- Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada pada tahap terbaik dan kekuatan perlu terus dibina agar parti terus utuh, kata Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata walaupun PKR menghadapi cabaran lebih berat berbanding parti yang lain, kerjasama sebagai satu pasukan mampu menggerakkan kekuatan, sekali gus memastikan kemenangan kepada parti.

"Tumpu (kaedah) nak bina kekuatan supaya 'kapal yang belayar boleh berlabuh dengan bergaya dan mantap'," kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah di sini, hari ini.

Anwar berkata bagaimanapun, semua pihak tidak boleh menganggap bahawa semua perkara dalam parti adalah sempurna.

"Saya akui sejak tiga tahun lepas, sejak saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri, saya kurang tumpukan kepada parti kerana saya nak betulkan ekonomi, nak betulkan kerajaan.

"Orang boleh cakap apa-apa pun, tugas kita kerja dan tahu pilihan kita. Kalau ada isu, kita kena jawab setiap isu dibangkitkan dengan kisah benar, bukannya reka," kata beliau.

Anwar berkata perjuangan parti juga perlu bersandarkan fakta dan tiada negara di dunia ini yang maju dengan menanam bibit kebencian.

Pandangan orang yang penuh dengan kebencian, kata beliau, tidak perlu dilayan, sebaliknya jalankanlah tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

"Parti pembangkang boleh bercakap mereka mahu memartabatkan Islam, namun Islam itu bukan pada pengucapannya sahaja, tetapi juga pada amalnya dan prinsip keadilannya serta pelaksanaan kata-katanya," kata beliau.

Anwar berkata PKR sangat memandang serius soal Islam yang merupakan agama Persekutuan, namun tugas PKR adalah untuk memurnikan keadaan dan tidak berdolak-dalik.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan