AM

ISU RUMAH IBADAT: PATUHI KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

13/02/2026 02:20 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Setiap pertikaian berkaitan agama perlu ditangani secara tertib dan berlandaskan undang-undang selaras dengan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, yang sekian lama menikmati kehidupan dalam suasana aman dan saling menghormati.

Insiden pencerobohan sebuah kuil yang dibina tanpa mematuhi peraturan di Rawang baru-baru ini sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat, disifatkan pakar sebagai sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku dalam sebuah negara yang berteraskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Peguam sivil Mohamad Haziq Mohamad Asman berkata kerangka perundangan negara pada  hakikatnya telah menyediakan saluran jelas menangani isu pembinaan struktur tanpa kelulusan termasuk melalui tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata PBT sememangnya mempunyai kuasa jelas di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana struktur yang dibina tanpa kebenaran atau melanggar spesifikasi yang ditetapkan, tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah atau kehadiran bailif. 

Di bawah prosedur akta itu, beliau berkata sekiranya terdapat bangunan haram atau bangunan yang pelan serta spesifikasinya melanggar peruntukan akta tersebut, PBT akan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk merobohkannya dalam tempoh 30 hari.

“Jika gagal mematuhi notis itu dalam tempoh ditetapkan, PBT berhak mengosongkan bangunan berkenaan, menghalau penghuni dan seterusnya merobohkan struktur tersebut.” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Haziq berkata keperluan perintah mahkamah dan kehadiran bailif lazimnya berlaku apabila sesuatu pihak enggan mengosongkan premis yang dimiliki oleh pemilik tanah.

"Maka, pemilik sewajarnya mendapatkan perintah mahkamah bagi mendapatkan milikan kosong premis tersebut. Dalam apa jua keadaan, pemilik tanah berhak untuk menikmati hartanahnya tanpa sebarang gangguan oleh penceroboh, binaan haram serta pendudukan haram.

“Dalam keadaan itu sahaja, pemilik tanah perlu memfailkan tindakan di mahkamah untuk mendapatkan perintah pengosongan dan kebiasaannya melibatkan bailif bagi melaksanakan perintah berkenaan. Namun, bagi apa-apa tindakan oleh PBT di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, perintah mahkamah tidak diperlukan,” katanya.

Pada Rabu lepas, polis telah menahan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, susulan aduan diterima daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit.

Susulan insiden itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  menegaskan tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang berkaitan isu rumah ibadat bagi memastikan keharmonian serta kestabilan terus terpelihara.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan pendekatan diambil Perdana Menteri itu penting bagi mengelakkan ketegangan daripada terus melebar sehingga berpotensi menjejaskan perpaduan yang telah dinikmati sejak sekian lama. 

Beliau melihat kenyataan Perdana Menteri itu juga sebagai penegasan menyeluruh yang merangkumi semua anutan dan kepercayaan di negara ini sama ada Islam, Hindu, Buddha mahupun mana-mana agama lain dan bukannya ditujukan kepada mana-mana kelompok tertentu.

"Negara ini berlandaskan kedaulatan undang-undang. Kita boleh bersuara tetapi ada tahap dan batasnya. Tindakan mesti berasaskan undang-undang, bukan emosi,” katanya yang juga Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. 

Kestabilan politik serta sosial antara faktor utama pertimbangan pelabur luar sebelum membuat keputusan melabur di sesebuah negara dan dalam konteks ekonomi kian mencabar, beliau berkata Malaysia tidak mampu berdepan situasi yang boleh menggugat keyakinan pasaran. 

"Apabila timbul isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, kemudian ditambah pula dengan tindakan melulu serta naratif tidak bertanggungjawab di media sosial, ia berisiko memberikan gambaran bahawa negara tidak stabil. Ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

“Sebab itu, tindakan tegas dan konsisten oleh pihak berkuasa amat penting bagi memastikan setiap pertikaian berkaitan rumah ibadat tanpa kebenaran diselesaikan mengikut lunas undang-undang, sekali gus memelihara keharmonian serta reputasi negara di mata dunia,” kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan