KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Inflasi keseluruhan dan inflasi teras Malaysia bagi 2025 masing-masing mencatat purata 1.4 peratus dan 2 peratus, berbanding 1.8 peratus pada 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pada suku keempat 2025, inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3 peratus (suku ketiga 2025: 1.3 peratus), manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus (suku ketiga 2025: 2.0 peratus).
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga yang lebih pantas bagi beberapa barangan teras seperti barang kemas dan jam tangan, serta kesan asas daripada inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih.
“Bagaimanapun, ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga bagi beberapa barangan kawalan, terutamanya elektrik (suku keempat 2025: -10.3 peratu; suku ketiga 2025: -4.6 peratus) dan petrol RON95 (suku keempat 2025: -2 peratus; suku ketiga 2025: -0.6 peratus), selaras dengan diskaun yang lebih besar berkaitan kos penjanaan elektrik serta pelaksanaan subsidi bersasar RON95 mulai Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tahap meluasnya inflasi dalam ekonomi, diukur berdasarkan peratusan item dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mencatat kenaikan harga setiap bulan, menurun kepada 39.6 peratus bagi suku berkenaan (suku ketiga 2025: 42.8 peratus), masih kekal di bawah purata sejarah suku keempat sebanyak 41.7 peratus.
Melangkah ke hadapan, Abdul Rasheed berkata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2026 berikutan penurunan kos global yang berterusan.
“Unjuran harga komoditi yang sederhana akan membantu mengekang tekanan kos terhadap inflasi. Inflasi teras dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang pada 2026, selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
“Selain itu, pembaharuan dasar domestik yang dilaksanakan pada 2025, termasuk perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi bersasar RON95, dijangka memberi kesan sederhana sahaja terhadap inflasi pada 2026,” katanya.
-- BERNAMA
