PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini dalam usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam menjalankan siasatan,” kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lepas sudah dilupuskan dalam tahun sama.
-- BERNAMA
