AM

SEKOLAH ANGKAT MADANI: J-KOM PERUNTUK RM100,000 KEPADA SMK TENGKU MENTERI

13/02/2026 04:05 PM

TAIPING, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memperuntukkan RM100,000 kepada 553 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, di sini sebagai penerima manfaat selepas dipilih antara sekolah Projek Sekolah Angkat MADANI di negeri ini. 

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata program itu satu inisiatif strategik yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menumpukan kepada pembangunan sosial dan ekonomi peringkat akar umbi, khususnya melalui institusi pendidikan.

“Melalui pendekatan ini, kerajaan berhasrat untuk memperkasakan komuniti sekolah secara menyeluruh, bukan sekadar dari sudut akademik tetapi merangkumi aspek kebajikan, kemudahan fizikal, pembangunan kemahiran serta kesiapsiagaan murid menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dalam konteks pendidikan, Malaysia MADANI menuntut kita memastikan setiap murid, tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang pembelajaran yang berkualiti dan saksama dalam persekitaran kondusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran dan Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI J-KOM, di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan sekolah sebagai hab komuniti pendidikan luar bandar, sekali gus merapatkan jurang kemudahan, dan akses antara bandar serta luar bandar.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 melibatkan empat skop utama yang dirancang secara menyeluruh dan bersasar.

“Skop pertama melibatkan peralatan digital dengan peruntukan sebanyak RM43,500, antara kemudahan yang disediakan termasuklah LCD projector, Smart TV beroda, pencetak laser serta sebuah pencetak 3D,” katanya.

Selain itu, Ismail berkata skop kedua pula ialah fasiliti sokongan dengan peruntukan RM39,222, manakala skop ketiga melibatkan peralatan sukan (RM13,178) serta skop keempat pula membabitkan pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (RM4,100). 

“Kejayaan Program Sekolah Angkat MADANI ini tidak terhenti dengan penyerahan peralatan semata-mata, kejayaan sebenar terletak pada cara kemudahan ini dimanfaatkan secara optimum, dipelihara dengan baik dan digunakan secara berterusan untuk kepentingan generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan