SHAH ALAM, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan menarik balik tauliah mengajar individu yang didapati menyalahgunakan kebenaran diberikan, khususnya sepanjang Ramadan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata tindakan itu bagi memastikan pengimarahan masjid dilaksanakan secara berdisiplin, mematuhi garis panduan dan tidak disalahgunakan sebagai medan menyentuh isu dilarang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Individu yang hendak memberi kuliah atau tazkirah di masjid mesti memiliki tauliah yang sah yang diberikan mengikut kelas masing-masing. Jika tauliah hanya untuk mengajar al-Quran, maka ia terhad kepada al-Quran.
“Sekiranya berlaku aduan dan siasatan mendapati terdapat salah guna tauliah, kebenaran itu boleh digantung terlebih dahulu dan seterusnya ditarik bergantung kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
Mohammad Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Persediaan Pengimarahan Ramadan Masjid Seluruh Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini
Beliau berkata taklimat itu merangkumi dua pembentangan utama melibatkan peraturan pemegang tauliah di Selangor dan program pengimarahan masjid yang digalakkan termasuk garis panduan pelaksanaan aktiviti sepanjang Ramadan tahun ini.
“Masjid tidak boleh dijadikan medan membincangkan isu dilarang seperti mengkritik kerajaan, kepartian atau politik. Semua penceramah perlu mematuhi perkara ini demi menjaga keharmonian jemaah.
“Sekiranya ada penceramah tidak bertauliah atau berlaku pelanggaran syarat, orang ramai digalakkan membuat aduan rasmi supaya siasatan boleh dijalankan,” katanya.
Mohammad Fahmi berkata antara syarat pengimarahan dicadangkan ialah pelaksanaan solat tarawih 20 rakaat di setiap masjid dan tazkirah selepas solat isyak dengan tempoh tidak melebihi 20 minit.
Selain itu, tazkirah sebelum solat zuhur juga dibenarkan, namun perlu dihentikan sebaik sahaja azan bagi memudahkan jemaah menunaikan solat fardu tepat pada waktu.
“Kita juga menggalakkan masjid mengambil imam daripada institusi tahfiz tempatan di Selangor bagi memberi peluang kepada anak-anak tahfiz mengimamkan solat tarawih.
“Langkah ini bukan sahaja menyemarakkan pengimarahan Ramadan malah memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar tahfiz untuk berkhidmat pada peringkat komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan mencukupi sepanjang Ramadan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program keagamaan serta kebajikan masjid di seluruh Selangor.
“Saya berharap semua pengurusan masjid, penceramah dan jemaah dapat mematuhi garis panduan ditetapkan bagi memastikan suasana Ramadan tahun ini lebih tertib, harmoni dan berfokus kepada penghayatan ibadah,” katanya.
Terdahulu, Mohammad Fahmi mengagihkan 445 kotak kurma kepada masjid terlibat sebagai tanda sokongan terhadap usaha pengimarahan Ramadan, hasil pembiayaan bersama-sama beberapa pihak penaja dan agensi.
-- BERNAMA
