SHAH ALAM, 13 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang menggagalkan cubaan menyeludup 17.58 tan aiskrim bernilai RM59,276.82 menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Klang dekat sini.
Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ais krim tersebut yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia Timur diisytiharkan sebagai dumpling sejuk beku.
“Pemeriksaan mendapati kesemua dagangan tersebut cuba dibawa masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.
"Sitaan dibuat untuk memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata perbuatan mengisytiharkan barangan yang tidak tepat merupakan satu kesalahan serius kerana boleh menjejaskan kawalan pematuhan terhadap peraturan import, termasuk syarat permit, piawaian keselamatan makanan, cukai dan duti import yang berkaitan.
Beliau berkata AKPS komited dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
-- BERNAMA
