JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) mengekalkan momentum pembangunan hartanah di Johor melalui sambutan hangat terhadap projek kediaman premium, UDA Heights.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Azrudyn Rashid berkata hampir 80 peratus unit banglo dan rumah berkembar dua tingkat projek itu telah habis dijual, dan projek berkenaan siap dua bulan lebih awal daripada jadual.
“Alhamdulillah, lebih 70 pembeli telah menerima kunci pada majlis penyerahan baru-baru ini. Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada kami untuk terus membangunkan projek berkualiti tinggi, memenuhi keperluan pasaran hartanah, serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UDA Heights terletak di Bandar UDA Utama dan menawarkan dua jenis kediaman: banglo enam bilik tidur dan enam bilik air, serta rumah berkembar lima bilik tidur dan enam bilik air.
Rekaan kediaman menepati keperluan tiga generasi, lengkap dengan bilik utiliti untuk pejabat atau pembelajaran di rumah, dapur kering dan basah, serta tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Pembangunan ini turut menerapkan inisiatif penuaian air sebagai komitmen terhadap pembangunan lestari. Harga banglo bersaiz lot 80’ x 90’ bermula RM2.2 juta, manakala rumah berkembar bersaiz lot 50’ x 70’ bermula RM1.7 juta.
Sehingga kini, UDA melalui UDA Land (South) Sdn Bhd berjaya membangunkan hampir 9,000 unit kediaman dan komersial di Johor, lebih 70 peratus daripadanya dimiliki pembeli bumiputera.
“Inisiatif ini menyokong pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat majmuk, termasuk pembeli pertama dan golongan profesional di kawasan bandar. Pembangunan dirancang secara holistik untuk kesejahteraan sosioekonomi komuniti sambil menjamin nilai jangka panjang kepada pemilik,” katanya.
Antara projek baharu UDA ialah Sedili Residensi di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, menawarkan 48 unit rumah teres satu tingkat mampu milik berkeluasan 861 kaki persegi, lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, bermula RM320,060.
Tahun ini, UDA merancang melancarkan tiga projek baharu, termasuk Residensi Monstera (gabungan rumah bandar dua dan tiga tingkat) dan projek UDA Amarylis Plot 1 & 2 di Bandar UDA Utama, membabitkan pembangunan rumah teres dua tingkat.
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pejabat jualan UDA Land (South) Sdn Bhd atau menghubungi talian 011 1722 6120 untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
