KUANTAN, 13 Feb (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dirangka sebagai pelan strategik jangka panjang selama satu dekad bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu melahirkan murid berkualiti yang memenuhi keperluan pendidikan tinggi dan pasaran kerja.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang Mahadzir Omar berkata pelaksanaan RPM dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu jangka pendek menerusi inisiatif segera atau quick win selama dua tahun, diikuti fasa sederhana selama tiga tahun dan fasa jangka panjang selama lima tahun.
“Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang wajib dicapai sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaan pelan berkenaan, melibatkan 13 sasaran utama berkaitan kemenjadian murid serta aspek infrastruktur pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Program Kenegaraan Khas: Taklimat RPM 2026-2035 di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, di sini hari ini.
Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan RPM 2026-2035, sebuah pelan strategik reformasi pendidikan nasional yang dipimpin bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan membina sistem pendidikan yang lebih adil dan berteraskan nilai.
Mahadzir berkata antara sasaran penting KPI tersebut ialah memastikan murid mencapai sekurang-kurangnya gred minimum C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah berbanding sekadar lulus.
“KPI ini bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian murid, tetapi turut melibatkan aspek sokongan seperti kemudahan fizikal, kualiti pengajaran dan persediaan asas murid bagi memastikan sasaran wajib dicapai,” katanya.
Beliau berkata peranan ibu bapa merupakan faktor kritikal dalam menjayakan pelan berkenaan, khususnya dalam memastikan penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid.
“Apa sahaja dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak akan berjaya tanpa sokongan ibu bapa, kerana asas pembelajaran bermula di rumah sebelum diperkukuhkan di sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Pahang Mohd Kamal Mohd Affandi ketika mengulas mengenai program hari ini berkata ia dianjurkan sebagai platform libat urus bagi memberi pencerahan kepada masyarakat berhubung hala tuju pelan pendidikan negara.
Beliau berkata pihaknya mengambil inisiatif menyediakan ruang dialog melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bagi membolehkan maklum balas rakyat disalurkan kepada pihak berkaitan.
“Program seperti ini penting bagi memastikan masyarakat memahami hala tuju pendidikan negara serta memberi peluang kepada rakyat menyuarakan pandangan dan cadangan bagi menambah baik pelaksanaan dasar pendidikan,” katanya.
-- BERNAMA
