AM

JKDM REKOD NILAI RAMPASAN LEBIH RM160 JUTA BULAN LEPAS

13/02/2026 08:56 PM

KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis barangan dengan nilai keseluruhan termasuk cukai mencecah RM169.2 juta sepanjang bulan lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Beliau berkata jumlah itu hasil daripada kejayaan menggagalkan 646 cubaan menyeludup dan menyeleweng duti serta cukai kastam sepanjang Januari tahun ini.

Anis Rizana berkata lima rampasan utama terdiri daripada kenderaan sebanyak RM65.26 juta, rokok (RM38.68 juta), lain-lain komoditi (RM31.41 juta), minuman keras (RM25.31 juta) dan dadah (RM7.51 juta).

"Rampasan mercun serta bunga api pula berjumlah RM1.03 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan pacuan empat roda sumbangan Kerajaan Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

 Beliau berkata JKDM juga telah merekodkan kutipan hasil sebanyak RM9.97 bilion bulan lepas berbanding unjuran bulanan RM9.17 bilion dengan lebihan sebanyak RM800 juta.

Anis Rizana berkata berdasarkan kutipan semasa serta perancangan yang dirangka secara rapi, JKDM optimis sasaran tahunan sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MoF) akan dapat dicapai.

Katanya pada tahun lepas, JKDM telah berjaya mencatatkan prestasi cemerlang dalam kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion sekali gus melepasi unjuran hasil yang ditetapkan MoF.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan