TUARAN, 15 Feb (Bernama) -- Sabah akan membanteras sebarang usaha menjadikan negeri itu sebagai laluan transit pengedaran dadah, selain turut menolak sekeras-kerasnya cubaan menjadikan rakyat tempatan sasan pasaran bahan terlarang itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ketegasan itu susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket dadah antarabangsa di negeri itu baru-baru ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membanteras sindiket pengedaran dadah.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) supaya tindakan tegas diambil terhadap kartel atau sindiket yang terlibat. Kita tidak boleh benarkan Sabah menjadi transit atau hab pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) di Padang Istiadat, Tuaran disini hari ini.
Hadir sama Menteri MAFFI Datuk Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri MAFFI Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.
Hajiji berkata penguatkuasaan perlu diperkukuh secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Menteri berkata kawalan ketat mesti dilaksanakan di semua pintu masuk negeri melibatkan laluan laut, udara dan darat bagi memastikan aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
"Sabah perlu dikawal daripada menjadi transit pengedaran.Tahniah kepada PDRM kerana berjaya menangkap dan membenteras kegiatan pengedaran dadah di Sabah," katanya.
Pada Jumaat lepas, PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah di beberapa kawasan di negeri itu dalam Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2, dianggarkan bernilai lebih RM240 juta.
-- BERNAMA
