MELAKA, 15 Feb (Bernama) -- Sebanyak kira-kira 556 lot tanah perkuburan di seluruh negeri dikenal pasti setakat ini, dengan sebahagian besar daripadanya telah melalui proses pendigitalan asas sebagai langkah awal pelaksanaan inisiatif kubur digital Melaka.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Datuk Rais Yasin berkata usaha pendigitalan kubur kini memasuki fasa pengemaskinian dan pelengkapan maklumat terperinci secara berperingkat bagi memastikan setiap rekod lebih tepat, tersusun dan mudah diakses oleh waris pada masa hadapan.
Katanya empat kawasan tanah perkuburan di Masjid Tanah terlibat dalam pelaksanaan awal inisiatif itu, manakala lokasi di Kampung Krubong di sini dijadikan projek perintis bagi memperkemas kaedah pelaksanaan sebelum diperluas ke kawasan lain.
"Projek perintis kubur digital di Kampung Krubong menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 552 plot kubur di kampung ini telah dikenal pasti dan direkodkan dalam tempoh kurang dua minggu pelaksanaan.
"Daripada jumlah itu, kira-kira 150 plot telah disahkan sepenuhnya, manakala selebihnya masih dalam proses verifikasi maklumat bersama waris," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Tanah Perkuburan dan Pengenalan Tanah Kubur Digital Kampung Krubong di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah PLAN Malaysia Melaka Abdulhan Abd Lamit dan Pengarah PB Realty (Poh Brothers Realty) Johnathan Poh.
Rais berkata inisiatif berkenaan bertujuan mewujudkan pangkalan data digital yang komprehensif merangkumi lokasi, butiran si mati serta maklumat waris bagi memudahkan pencarian pada masa akan datang.
“Data ini bukan sahaja untuk kegunaan semasa, tetapi sebagai rujukan generasi akan datang. Dengan adanya sistem digital yang boleh diakses melalui applikasi, waris dapat mengenal pasti lokasi kubur dengan lebih mudah dan teratur.
"Selain itu, data ini juga boleh dijadikan rfujukan dalam menentukan kepadatan sesebuah lot tanah perkuburan di sesuau kariah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penduduk Kampung Kerubung turut menerima tapak tanah perkuburan baharu seluas 0.4 ekar yang diserahkan pemaju kepada pihak masjid bagi menampung keperluan setempat.
Katanya tapak baharu itu dijangka dapat mengatasi kekurangan ruang perkuburan sedia ada, memandangkan kawasan berkenaan melibatkan beberapa taman perumahan dan kampung sekitar di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
--BERNAMA
