AM

TIANG PINTAR 5G PACU KEMODENAN INFRASTRUKTUR TERENGGANU

15/02/2026 08:25 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Feb (Bernama) -- Projek Rintis Struktur Tiang Pintar 5G (IP) yang dilancarkan hari ini bertujuan memodenkan infrastruktur bandar menerusi integrasi teknologi pintar dan ketersambungan digital di seluruh Terengganu. 

Projek rintis kerjasama antara kerajaan negeri bersama Colla Connecting Edge Sdn Bhd itu adalah inisiatif strategik berkaitan Infrastruktur Digital Pintar di bawah Rangka Tindakan Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata inisiatif itu selaras matlamat untuk menjadikan Terengganu sebagai hab teknologi hijau dan bandar pintar mampan.

"Pelaksanaan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar ini dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi digital negeri dan membuka lembaran baharu dalam pembangunan infrastruktur bandar yang lebih pintar, selamat dan lestari,” katanya pada Majlis Pelancaran Struktur Tiang Pintar 5G di Pasar Kedai Payang di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Colla Connecting Edge Sdn Bhd Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim berkata struktur berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai pencahayaan jalan malah menjadi hab integrasi digital yang direka untuk menyokong ekosistem bandar pintar.

"Menerusi projek rintis ini, tiang lampu sedia ada yang bersesuaian dinaik taraf menjadi aset pintar dilengkapi sensor Internet Benda (IoT), capaian 5G serta sistem pemantauan berpusat.

"Tiang Pintar itu turut menyediakan paparan pengiklanan digital untuk menyalurkan maklumat rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) selain dilengkapi sensor cuaca dan sistem pengesanan pencemaran secara masa nyata," katanya sambil menambah stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) turut disediakan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan