JAKARTA, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia akan terus menyokong pengukuhan jaringan alumni institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia di seluruh dunia termasuk Indonesia yang turut berperanan sebagai penggerak penting dan platform strategik mengeratkan hubungan diplomatik antara dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata selain hubungan rasmi kerajaan ke kerajaan, hubungan rakyat dengan rakyat antaranya melalui jaringan alumni rentas sempadan boleh menjadi elemen penting bagi mengukuhkan persefahaman dan kepercayaan.
“Ya, kita boleh mempunyai hubungan rasmi antara dua negara, boleh menandatangani perjanjian persefahaman atau memorandum perjanjian namun yang lebih penting ialah hubungan antara rakyat dengan rakyat.
“Insya-Allah di pihak kerajaan Malaysia, kita akan terus memberikan dukungan ini melalui Education Malaysia,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama-sama alumni Indonesia yang pernah melanjutkan pelajaran ke IPT Malaysia dan penyampaian anugerah Global Alumni Icon Awards di sini, malam Ahad.
Zambry yang tiba di Jakarta pada Sabtu lepas bagi lawatan kerja dua hari ke ibu negara Indonesia turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Profesor Brian Yuliarto di sini pada Ahad.
Zambry berkata pengalaman beliau sendiri menunjukkan hubungan erat terjalin melalui rangkaian individu dan alumni sering membantu menyelesaikan perkara yang dianggap rumit pada peringkat rasmi.
“Bila ada alumni seperti ini kita akan membina sifat dipanggil sebagai saling percaya kerana kita belajar di Malaysia, yang ini belajar di Indonesia maka sebarang permasalahan dapat kita selesaikan bersama-sama. Jadi teruskan jaringan alumni ini,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod, kira-kira 100,000 penuntut Indonesia melanjutkan pengajian ke IPT Malaysia sejak 30 tahun lepas dengan ketika ini terdapat kira-kira 11,400 pelajar Indonesia di Malaysia.
“Saya berharap lebih ramai pelajar Indonesia yang datang belajar (ke Malaysia),” katanya.
-- BERNAMA
