AM

UKHUWAH MADANI PERKASA KEBAJIKAN RAKAN PENGHANTAR MALAYSIA

16/02/2026 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan komited memperkukuh sokongan terhadap kebajikan dan pembangunan golongan rakan penghantar menerusi penganjuran Program Ukhuwah MADANI Bersama Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia sebagai menghargai peranan penting pekerja gig.

Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan penglibatannya dalam program itu amat signifikan memandangkan golongan rakan penghantar adalah antara nadi penting ekonomi gig dan kehidupan masyarakat.

Kenyataan itu memaklumkan program anjuran AKM yang berlangsung hari ini di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah satu inisiatif kemasyarakatan berteraskan nilai kebersamaan, keprihatinan dan ihsan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

AKM memaklumkan program itu menekankan nilai kesejahteraan, kemampanan dan ihsan dalam pembangunan modal insan negara selain menjadi wadah memupuk semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta tanggungjawab sosial khususnya dalam kalangan belia.

“Penglibatan belia, penjawat awam, persatuan komuniti dan golongan profesional secara bersama diyakini mampu membentuk ekosistem masyarakat yang lebih harmoni, berempati dan saling menyokong,” menurut kenyataan itu. 

AKM turut memaklumkan Program Ukhuwah MADANI itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan nasional, menyuburkan nilai keprihatinan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam membina masyarakat yang inklusif dan sejahtera.

Menerusi kenyataan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim menyifatkan program itu sebagai pendekatan efektif untuk mendekatkan Kerajaan MADANI dengan rakyat khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan golongan rakan penghantar.

Beliau berkata pelaksanaan aktiviti pengagihan pelekat Ramadan dalam program itu bukan sekadar simbolik sebaliknya membawa mesej peringatan, kebersamaan dan nilai kemanusiaan khususnya menjelang ketibaan bulan Ramadan.

“Dalam kesibukan seharian terutamanya bagi rakan-rakan penghantar yang bekerja di lapangan tanpa mengira masa dan cuaca, usaha kecil seperti ini mampu memberi kesan yang besar.

“Ia mengingatkan kita tentang pentingnya menghargai masa, memperkukuh silaturahim dan menghidupkan semangat saling mendoakan antara satu sama lain,” katanya.

Muhammad Izuan juga berkata konsep Ukhuwah MADANI membawa maksud persaudaraan yang melangkaui perbezaan latar belakang, pekerjaan dan status sosial selain menuntut nilai saling menghormati, keprihatinan serta kesediaan membantu demi kesejahteraan bersama. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan