SEPANG, 16 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan tiga kes penyeludupan membabitkan pelbagai jenis barangan termasuk dadah dengan jumlah keseluruhan rampasan serta duti dianggar bernilai RM2.508 juta.
Pengarah JKDM KLIA Zulkifli Muhammad berkata tiga kes berkenaan melibatkan rampasan bunga ganja dan kokain seberat 16.057 kilogram (kg), besi (145,281 kg) dan 21 unit kenderaan elektrik (EV) tiga roda serta e-bike.
Beliau berkata bagi kes pertama, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Lumpur menahan dan menyita tiga bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis ganja serta kokain yang cuba dieksport secara berasingan ke dua negara Eropah.
"Pada 5 Jan, dua bungkusan mengandungi bunga ganja seberat 16 kg dengan nilai dianggar RM1.408 juta dirampas manakala pada 28 Jan, satu lagi bungkusan mengandungi kokain seberat 57 gram bernilai RM11,400 turut disita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah menggunakan perkhidmatan mel dan kurier dengan mengikrarkan bungkusan sebagai hadiah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi kes kedua pada 19 Jan, Zulkifli berkata enam kontena mengandungi besi pelbagai saiz ditahan di Pelabuhan Klang, Selangor hasil kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Pasukan COBRA JKDM.
Dagangan seberat 145.28 tan metrik itu dianggar bernilai RM683,164 dengan jumlah duti cukai sebanyak RM200,136.
"Kesemua besi berkenaan dipercayai diimport tanpa permit sah daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)," katanya menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.
Mengenai rampasan kenderaan EV pada 28 Jan lepas, beliau berkata serbuan dilakukan ke atas tiga premis berasingan di Sentul dan Petaling Jaya yang disyaki menjual kenderaan EV tiga roda dan e-bike tanpa permit import sah.
Sebanyak 21 unit EV dan e-bike dirampas dengan anggaran nilai RM122,101 dan melibatkan duti serta cukai sebanyak RM83,028.
Zulkifli berkata penjualan dibuat secara dalam talian dan penghantaran terus kepada pembeli bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan EV adalah tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Sehubungan itu, JKDM menyeru orang ramai supaya membantu membanteras jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.
-- BERNAMA
