AM

SETIAP SAAT BERHARGA - DARIPADA RAWATAN KECEMASAN HINGGA PEMULIHAN

16/02/2026 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, perjalanan harian menaiki motosikal atau memandu kereta sudah menjadi rutin, namun risiko kemalangan jalan raya sentiasa mengintai dan boleh berakhir dengan tragedi.

Berdasarkan statistik terkini, dalam tempoh antara 14 Mac 2024 hingga 18 Mac 2025, kemalangan jalan raya di Malaysia berlaku hampir setiap 50 saat, manakala satu kes kematian direkodkan kira-kira setiap satu jam 56 minit.

Selain kemalangan jalan raya, jatuh, kemalangan di tempat kerja dan kecederaan sukan turut menyumbang secara signifikan kepada beban kesihatan negara akibat trauma muskulosketeletal atau kecederaan pada otot, tulang dan sendi.

Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Sunway, Sunway City Dr Mohd Khalis Abdul Rahim bekerjasama rapat dengan Pakar Ortopedik dan Pakar Pembedahan Trauma Muskulosketeletal Lanjutan Dr Mohamad Hafiz Mohmad Hassim dalam menangani kes-kes kritikal berkenaan.

Bagi rawatan kritikal segera di unit kecemasan, Dr Mohd Khalis berkata pasukan perubatan menggunakan pendekatan ABCDE (Airway - Saluran pernafasan, Breathing - pernafasan, Circulation - peredaran darah, Disability - fungsi saraf dan Exposure - pemeriksaan keseluruhan) bagi menangani masalah yang mengancam nyawa secepat mungkin.

Beliau berkata rawatan trauma melibatkan usaha pelbagai disiplin termasuk doktor kecemasan, pakar bedah saraf, pakar ortopedik, pakar radiologi dan pakar anestetik.

“Ia mengenai menyelamatkan nyawa dahulu, kemudian anggota badan. Jika kita mengesan saluran pernafasan tersumbat, pendarahan atau kecederaan dalaman, tindakan diambil segera, kadangkala sebelum imbasan dilakukan,” kata Dr Mohd Khalis dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ramai pesakit tidak menyedari keseriusan kecederaan yang mereka alami, ia kelihatan normal di luar tetapi mengalami kerosakan dalaman.

Setelah pesakit distabilkan, Dr Mohamad Hafiz pula mengambil alih proses penilaian dan perancangan pembedahan, sambil menegaskan bahawa masa amat penting dan tidak boleh dilengahkan dalam kes trauma.

Dr Mohamad Hafiz berkata walaupun kes yang kompleks memerlukan pembedahan, seorang pakar bedah biasanya bijak membuat pertimbangan mengenai keperluan untuk melakukan pembedahan, terutama apabila melibatkan pesakit kanak-kanak atau warga emas yang berisiko tinggi.

“Dalam kes trauma, masa bukan sesuatu yang boleh dibazirkan. Kita menilai pesakit, menjalankan imbasan diperlukan, menstabilkan mereka dan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya dengan cepat. Komunikasi antara pasukan amat penting. Semua pihak perlu bergerak seiring,” katanya.

Dr Mohamad Hafiz berkata melalui teknologi pengimejan 3D kini, membolehkan pakar bedah merancang prosedur dengan lebih tepat dan memilih implan yang sesuai.

Dr Mohd Khalis berkata pakar radiologi intervensi memainkan peranan penting dengan menghentikan pendarahan dalaman tanpa pembedahan terbuka, sekali gus meningkatkan peluang pesakit untuk selamat.

Dr Mohamad Hafiz berkata proses pemulihan bergantung kepada fisioterapi dan rehabilitasi, yang boleh dimulakan seawal satu atau dua hari selepas pembedahan bagi mengelakkan sendi menjadi kaku.

Mengenai keselamatan awam, Dr Mohd Khalis berkata pencegahan adalah langkah terbaik, dan menggesa orang ramai menggunakan topi keledar, tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi mengurangkan risiko kecederaan.

Beliau turut menasihati pemandu supaya menyelenggara kenderaan dan mengelakkan memandu laju kerana kelajuan tinggi meningkatkan risiko kecederaan serius.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan