MOSCOW, 16 Feb (Bernama-Anadolu) -- Delegasi Ukraine berangkat ke Geneva bagi menghadiri pusingan baharu rundingan damai dengan Rusia yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) dan dijadual berlangsung pada 17 hingga 18 Feb, kata Ketua Pejabat Presiden Ukraine Kyrylo Budanov pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi Telegram, Budanov memuat naik gambar beliau bersama dua lagi anggota delegasi di hadapan sebuah gerabak kereta api.
“Menuju ke Geneva. Pusingan rundingan seterusnya menanti. Dalam perjalanan, kami akan membincangkan pengajaran daripada sejarah bersama rakan-rakan dan mencari kesimpulan yang tepat. Kepentingan Ukraine mesti dipertahankan,” tulisnya.
Pusingan pertama rundingan keselamatan tiga hala tahun ini yang melibatkan Rusia, Ukraine dan AS berlangsung di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu, pada 23 hingga 24 Jan, dengan kumpulan perunding Moscow diketuai Igor Kostyukov, Ketua Direktorat Utama Staf Am Angkatan Tentera Persekutuan Rusia.
Pusingan kedua menyusul pada 4 hingga 5 Feb di lokasi yang sama.
Minggu lalu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov mengumumkan bahawa pusingan rundingan seterusnya mengenai penyelesaian isu Ukraine juga akan diadakan dalam format tiga hala Rusia-AS-Ukraine pada 17 hingga 18 Feb di Geneva, Switzerland.
-- BERNAMA-ANADOLU
